Memartabatkan ibadah sembahyang asas pembentukan sahsiah diri





Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman



BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 24 Januari. - Umat Islam diingatkan untuk tidak sesekali meninggalkan sembahyang fardu walau dalam apa jua keadaan dan di mana kita berada.


Melalui peristiwa agung Israk dan Mikraj, menjadi bukti nyata kasih sayang Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang sanggup melalui perjalanan yang amat berat demi kesejahteraan umatnya.


Israk Mikraj bukan sekadar peristiwa sejarah, tetapi satu peringatan tentang pentingnya sembahyang sebagai tiang agama serta betapa besarnya pengorbanan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam untuk umat akhir zaman.


Demikian antara pengisian Ceramah Khas bertajuk 'Sembahyang Teras Modal Insan Cemerlang' yang disampaikan oleh penceramah undangan, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustafa, pada Majlis Keagamaan sempena Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang dikendalikan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan. Majlis berlangsung di Dewan Serbaguna Tingkat 6, KHEDN, di sini.


Dalam ceramah berkenaan, beliau menekankan peri pentingnya peristiwa Israk dan Mikraj sebagai iktibar dalam memartabatkan ibadah sembahyang sebagai asas pembentukan sahsiah diri.


Menurutnya lagi, sembahyang bukan sekadar tuntutan fardu, malah merupakan instrumen utama dalam menyemai disiplin, akhlak mulia, serta nilai amanah dalam menjalankan tanggungjawab seharian.


Awang Haji Muskrisman Safari turut menyeru para hadirin agar istiqamah dalam menjaga kualiti ibadah demi melahirkan modal insan yang seimbang, berintegriti, dan cemerlang di dunia mahupun akhirat.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.


Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, iaitu Surah Al-Baqarah (ayat 284 hingga 286) oleh Awang Abdul Wafiy bin Haji Ibrahim, johan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Saringan Kebangsaan 1447H / 2025M.


Inti sari ayat kemudiannya dikupas melalui bacaan tafsir oleh Pegawai Ugama Skim Perantisan Perkhidmatan Awam, (SkiPPA) dari Bahagian Penguatkuasaan Ugama, Jabatan Hal Ehwal Syariah (JHES), KHEU, Awang Muhammad Nazirul Azizan bin Bahren.


Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Khas bagi kesihatan dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Doa Selamat oleh Muhammad Nazirul Azizan.


Turut menyemarakkan majlis berkenaan, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, serta warga kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.


Juga hadir, ahli-ahli Disaster Preparedness Coordinator (DPC) dari keempat-empat daerah, yang mencerminkan semangat perpaduan dan kerjasama erat dalam kalangan warga kementerian.


Close